World Around Me

World Around Me
I adore countryside

Saturday 6 August 2011

Natijah Ramadhan

Natijah bagi puasa dalam bulan Ramadhan adalah Taqwa.


Adakah pernah kita terfikir nilai Ramadhan yang sebenarnya? 


Bagai lautan yang luas yang disediakan Allah, kita boleh mendapatkan berbagai-bagai faedah dengan cara berbeza-beza dari sekecil-kecil rezeki sehinggalah ke mutiara yang bernilai tinggi. Maka kita ambil peluang Ramadhan ini untuk Allah mengampunkan dosa kita supaya kita termasuk dikalangan hambaNya yang beruntung khususnya setelah kita kembali kepadaNya. Oleh itu, mari lah kita bertaubat dan merafat sembah memohon ampun kepada Allah s.w.t di atas segala dosa-dosa yang kita telah lakukan.


Ramadhan juga merupakan bulan jihad. Berjihad melawan musuh yg berada dalam diri manusia iaitu hawa nafsu. Sekiranya nafsu dapat dididik, maka akan lahirlah manusia yang cemerlang, akhlak dan budi pekertinya. Sesungguhnya Ramadhan adalah medan terbaik untuk membentuk jiwa dan mendidik nafsu demi mencapai darjat hamba Allah yang bertaqwa. 


Amal-amal ibadah yang dihidangkan sepanjang bulan Ramadhan merupakan makanan yang mengenyangkan jiwa dan hati kita. Apabila jiwa kita kenyang dengan amal-amal ma'ruf, maka ia akan hidup segar memberi sinar hidayah dan kekuatan rohani manusia. 


Segala tindakan, pemikiran dan ucapan kita yang keluar dari jiwa yang suci bersih akan memberi manfaat kepada makhluk di sekeliling kita dan membangunkan juga jiwa mereka untuk menyebar-luaskan kebaikan keseluruh alam.


Beruntunglah kepada sesiapa yang merebut seberapa banyak hadiah Allah yang disediakan sepanjang Ramadhan.


Sekiranya kita merasakan bahawa Ramadhan yang lalu banyak kekurangan berlaku, pastikan Ramadhan kali ini membawa perubahan yang besar dalam kehidupan kita. 


Selamat Berpuasa dan kita mengharapkan kepada Allah s.w.t agar sentiasa menghimpunkan kita sebagai orang-orang yang sentiasa berkasih sayang dan saling bermaaf-maafan menuju kepada kerahmatan dan keberkatan Allah s.w.t


-wassalam- 


   
  

No comments:

Post a Comment